START TYPING AND PRESS ENTER TO SEARCH ARTICLES

Tanda lahir boleh jadi sel kanser 2017

Dr. Lee Yin Yin

Specialist in Dermatology

Curettage and electrosurgery, Electrocautery, Excision, Skin biopsy

UTUSAN MALAYU Januari 5, Bayi baru lahir biasanya memiliki tanda lahir diesebabkan ketika hamil si ibu melihat gerhana bulan, malah ada juga yang mengaitkannya  dengan keinginan si ibu pada sesuatu ketika hamil tidak dipenuhi.

Ada juga segelintir masyarakat yang percaya bahawa tanda lahir boleh memberi tuah atau malang kepada seseorang.

Semua itu sekadar mitos kerana tanda lahir sebenarnya bersifat kongenital, iaitu pigmen melanin pada kulit yang tidak sekata hadir ketika lahir atau muncul sejurus selepas kelahiran, biasanya dalam tempoh beberapa bulan.

Boleh menyerupai pelbagai bentuk berwarna kemerahan, kehitaman, atau jingga. Memiliki tanda lahir adalah sesuatu yang normal, namun sehingga kini penyebab wujudnya tanda tersebut pada bayi dari segi saintifik masih belum dapat dipastikan.

Jika dilihat dari segi perubatan, sebahagian tanda lahir adalah disebabkan oleh pembuluh darah yang terkumpul atau tidak tumbuh normal. Ada juga tanda lahir terjadi kerana pigmen tambahan pada kulit.

Menurut Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Yin Yin, pada umumnya, tanda lahir bukanlah sesuatu yang berbahaya, tetapi ada kemungkinan untuk tanda itu bertukar menjadi sel kanser dalam keadaan tertentu.

Ujarnya, terdapat dua jenis tanda lahir, iaitu tanda lahir vaskular (salur darah tidak terbentuk dengan sempurna) dan tanda lahir berpigmen (sel-sel yang menyebabkan pigmen pada kulit berkembang lebih daripada normal).

“Tanda lahir vaskular disebabkan oleh pembuluh darah yang abnormal di bawah kulit, yang mana kadang-kadang sekumpulan saluran darah akan tumbuh bergumpal. Tanda yang timbul biasanya berwarna kemerahan atau ungu. Kehadirannya sering dijumpai pada kawasan wajah, leher dan kepala.

“Tanda lahir vaskular boleh terjadi dalam bentuk salmon patches, hemangiomas atau port wine stains. Rawatan laser adalah antara kaedah yang boleh membantu menghilangkan tanda lahir jenis ini.

“Manakala tanda lahir berpigmen pula akibat daripada kelompok sel berpigmen pada kulit. Tompokan yang timbul biasanya berwarna coklat.

“Ramai yang tidak tahu bahawa tahi lalat adalah sejenis tanda lahir. Selain dalam bentuk tahi lalat, tanda lahir jenis ini juga boleh membentuk tompokan cafe-au-lait (jingga) atau tompokan Mongolian (kelabu kebiruan),” katanya.

Jelas Dr. Yin Yin, meskipun peratusan kes tanda lahir bertukar menjadi kanser sangat kecil, masyarakat masa kini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dalam penjagaan kesihatan anak mereka sejak dari kecil lagi.

Beliau melihat perubahan yang ketara apabila ibu bapa sangat mengambil berat tentang perubahan yang berlaku kepada bayi mereka walaupun hanya sekadar tanda lahir.

Tidak berniat untuk menakutkan ibu bapa, dia menyarankan agar ibu bapa yang mempunyai bayi dengan tanda lahir supaya berjaga-jaga.

Ini kerana, jika berlaku perubahan pada saiz, warna, bentuk atau bengkak seiring dengan peningkatan usia, ada kemungkinan tanda lahir akan bertukar menjadi sel kanser kulit.

Bayi yang lahir dengan saiz tanda lahir sangat besar, juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser kulit.

“Beberapa tahun yang lalu, saya pernah mendapat kes seorang wanita sihat dan aktif dalam lingkungan usia 20-an yang menghidap sawan buat kali pertama.

“Selepas melakukan pemeriksaan rupa-rupanya tahi lalat yang bersaiz separuh daripada belakang badannya adalah penyebab kepada sawan tersebut.

“Wanita tersebut tidak tahu bahawa tanda lahir yang dimiliki telah menjadi sel kanser dan simptom sawan yang dialami adalah kerana sel kansernya telah menyerang bahagian otak.

“Melihat keadaan ini, saya merumuskan agak sukar untuk menjangkakan tempoh masa tanda lahir bertukar menjadi sel kanser.

“Jadi ibu bapa perlu berjaga-jaga dan dapatkan rawatan dengan lebih awal jika menyedari adanya perbezaan pada tanda lahir pada bayi mereka,” katanya.

Jika bayi mempunyai perubahan pada tanda lahir mereka, pemeriksaan biopsi perlu dilakukan di mana sel kulit pada tanda lahir akan diambil untuk diuji.

Jika dikesan mempunyai sel kanser, bahagian tersebut akan dibuang dan ada kemungkinan bahagian tersebut ditampal dengan kulit bahagian anggota badan lain.

Katanya, jika tanda lahir yang mahu dibuang bersaiz besar, pembedahan menggantikan kulit baharu perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Parut yang terjadi akan dirawat dengan kaedah lain, contohnya laser, pada masa hadapan.

Namun, pembedahan hanya digalakkan kepada mereka yang berkemungkinan tinggi mendapat kanser atau tanda lahir yang menjejaskan penampilan fizikal seperti pada bahagian muka atau bahagian lain yang mudah kelihatan.

“Jika tanda lahir terletak di kawasan tersorok dan tidak berlaku sebarang perubahan saiz atau warna, ibu bapa tidak perlu risau. Ada kemungkinan tanda lahir akan hilang apabila bayi meningkat dewasa atau warnanya menjadi semakin pudar.

“Pembedahan amat berisiko kepada bayi kerana menggunakan bius sepenuh badan, jadi seeloknya ibu bapa tidak memilih kaedah ini jika tanda lahir pada bayi mereka tidak berbahaya,” katanya.

START TYPING AND PRESS ENTER TO SEARCH ARTICLES