START TYPING AND PRESS ENTER TO SEARCH ARTICLES

Pusat Tulang dan Sendi di Pusat Perubatan Sunway terdiri dari pasukan Pakar Ortopedik yang bergabung untuk memberikan terapi dan intervensi masalah tulang dan sendi kepada pesakit. Pusat ini menjalankan pembedahan tulang dan penggantian sendi, pembedahan  lumbar dan tulang belakang serta memberi perkhidmatan penjagaan klinikal bagi masalah ortopedik lain yang berkaitan dengan penyakit rheumatik dan kecederaan sukan.

Anda hanya boleh berjalan tanpa kesakitan jika tulang dalam sendi lutut anda licin dan dilindungi oleh rawan yang sihat dan licin. Anda juga memerlukan otot dan ligamen yang kuat untuk kestabilan,  kerana lutut anda  bukan sahaja berfungsi sebagai sendi engsel: setiap kali anda membengkokkan kaki untuk berjalan atau memanjat tangga, tulang akan  bergerak, bergolek dan melongsor antara satu sama lain.

Punca utama lutut yang sakit dan kaku adalah osteoartritis yang disebabkan oleh kecederaan atau kelusuhan rawan. Masalah lutut yang lain ialah artritis rheumatoid (sejenis penyakit keradangan sendi), jangkitan terdahulu atau susunan tulang yang kekok.   Dalam pengidap osteoartritis, rawan yang merupakan pelapik antara tulang menjadi haus. Hujung tulang menjadi kasar apabila tergesek, menyebabkan kesakitan. Dalam pesakit artritis rheumatoid, sendi anda mungkin juga meradang dan bengkak.

Masalah lutut yang sakit dan kaku akan menahan anda daripada melakukan perkara yang mudah, termasuk berjalan yang mungkin membawa kesakitan. Kini, pakar bedah orthopaedik boleh menggantikan lutut anda yang bermasalah. Selepas pembedahan penggantian lutut, lutut baru anda mungkin menghadapi beberapa batasan dalam penggunaan tetapi anda akan dapat melakukan banyak aktiviti harian yang tidak dapat dilakukan sebelum ini.

Persiapan untuk Pembedahan

Maklumat berikut perlu dimaklumkan kepada pakar bedah:

  • Keadaaan kesihatan anda
  • Ubat yang sedang diambil – terutamanya ubat kontraseptif oral, steroid, aspirin
  • Alahan
  • Pembedahan yang lalu
  • Masalah pendarahan
  • Masalah tulang dan sendi yang lain

Beberapa pemeriksaan akan dijalankan sebelum pembedahan. Beberapa ujian darah dan sinar-X biasanya diperlukan. Anda mungkin dirujuk kepada Doktor Pakar atau Pakar Anestesia untuk menstabilkan keadaan anda ketika pembedahan.

 

Pembedahan

  • Pembedahan akan mengambil masa selama satu ke satu setengah jam.
  • Insisi bertindan dilakukan di bahagian depan sendi lutut.
  • Antibiotik akan diberikan dalam dewan pembedahan.
  • Drip intravena akan dimasukkan pada lengan anda dan kateter urinari untuk menyalur keluar air kencing semasa dan selepas pembedahan.
  • Pembedahan ini biasanya akan dilakukan dengan anestesia epidural atau anestesia menyeluruh atau gabungan kedua-duanya.

 

Pulang ke rumah

Setelah anda pulih dan dapat membengkokkan lutut, pakar bedah akan membenarkan anda pulang. Kebanyakan pesakit dapat pulang ke rumah lima atau tujuh hari selepas pembedahan. Anda akan dipesan mengenai senaman dan ubat sebelum pulang. Jika anda mempunyai sebarang persoalan, anda boleh bertanya kepada jururawat yang mengendalikan urusan keluar hospital.  Temujanji untuk rawatan fisioterapi dan lawatan pos-pembedahan dengan pakar bedah harus dilakukan sebelum pulang.

Rehabilitasi

  • Senaman yang dilakukan di hospital harus diteruskan di rumah. Senaman ini bertujuan memulihkan pergerakan dan kekuatan lutut anda. Anda perlu menggunakan tongkat ketiak seperti yang dinasihati pakar bedah.
  • Anda harus berjumpa pakar fisioterapi seperti yang dijadualkan selepas keluar dari hospital. Pakar fisioterapi akan memeriksa perkembangan anda dan menasihati tentang sebarang senaman lain yang mungkin diperlukan.
  • Pakar bedah akan bertemu anda dalam masa dua minggu selepas pembedahan untuk menanggalkan jahitan secara berperingkat. Beliau akan menilai keupayaan anda untuk berjalan, bergerak, kekuatan dan kestabilan lutut anda, serta menasihati anda cara mencapai tahap fungsi seterusnya.

 

  • Anda akan dapat memandu 6 minggu selepas pembedahan. Anda boleh berjalan sejauh mana yang anda rasa selesa. Berenang dibenarkan dan amat digalakkan. Aktiviti seperti menari, golf dan bowling biasanya boleh dimulakan selepas 2 bulan.
  • Lutut anda akan berfungsi dengan baik tanpa kesakitan jika anda melakukan senaman secara kerap. Lutut baru boleh berfungsi untuk jangka masa yang panjang jika anda sentiasa berhati-hati menjaganya. Sukan berat, melompat dan menggeliat sendi dengan kasar boleh mengakibatkan kerosakan lutut yang lebih awal.

 

 

Komplikasi

Pembedahan lutut total kini selamat dan berkesan, sama seperti pembedahan pinggul total. Namun begitu, terdapat risiko dan komplikasi tertentu yang berkaitan dengan pembedahan penggantian lutut total. Meskipun ianya jarang berlaku dan pakar bedah orthopedik serta kakitangan hospital akan melakukan yang terbaik untuk menghalang komplikasi, ia mungkin boleh berlaku. Komplikasi yang mungkin berlaku termasuk:

  1. Komplikasi anestetik
  2. Jangkitan kuman
  3. Trombosis Vena Dalam dan Embolisma Pulmonari
  4. Kelonggaran
  5. Kaku
  6. Komplikasi luka
  7. Embolisma lemak
  8. Luka akibat tekanan
  9. Kecederaan salur darah dan saraf
  10. Keretakan tulang
  11. Masalah perubatan umum

 

Menghalang jangkitan

Jika jangkitan dikesan di mana-mana bahagian tubuh (contohnya kulit, air kencing, dada, kerongkong, gigi), ia boleh masuk ke dalam aliran darah dan merebak ke lutut anda. Hubungi doktor:

  • Sebelum menjalani prosedur rawatan gigi.
  • Sebelum menjalani pembedahan lain atau prosedur invasif contohnya Endoscopy, Sigmoidoscopy, Kateter Air Kencing, prosedur ginekologi.
  • Jika mengesyaki anda mengalami jangkitan.
  • Jika luka anda menjadi merah, panas, bengkak, semakin sakit atau mengeluarkan cecair.

 

Perkara untuk dilakukan dan dielakkan

  • Sentiasa gunakan tongkat ketiak semasa berjalan.
  • Berjalan di tanah yang rata selepas pulang ke rumah
  • Ikuti arahan yang diberikan oleh pihak hospital
  • Hubungi doktor jika anda merasa risau.
  • Jangan memandu sehingga doktor memberi kebenaran.
  • Jangan bongkokkan tubuh anda ke depan lebih dari 90 darjah semasa duduk atau berdiri.
  • Jangan silangkan kaki ketika duduk atau baring
  • Jangan berpusing di pinggul – pusing seluruh tubuh anda.
  • Jangan duduk atas kerusi yang rendah, gunakan kerusi tinggi yang kukuh dengan tempat letak tangan.

 

PENGGANTIAN LUTUT KURANG INVASIF UNI KOMPARTMENTAL

Lutut semulajadi terdiri dari tiga bahagian yang saling berhubung – medial, lateral dan patello-femoral (penutup lutut). Artritis mungkin menjejaskan satu, dua atau kesemua tiga bahagian lutut. Kini, penggantian lutut total merupakan pembedahan yang berkesan untuk masalah artritis lutut yang melibatkan dua atau tiga bahagian sendi lutut. Dalam pembedahan ini , dua atau tiga bahagian akan diberi lapisan baru. Sesetengah lutut hanya mengalami masalah di satu bahagian sahaja.

Pesakit sebegini tidak memerlukan pembedahan penggantian total. Mereka boleh mendapatkan ubat tahan sakit yang berkesan dan mendapat kembali fungsi lutut yang baik dengan pembedahan yang memberi lapisan baru hanya di bahagian yang bermasalah sahaja.

Penggantian separa sendi lutut dikenali sebagai Knee Replacement (UCR) atau Penggantian Lutut Uni Kompartmental. Pembedahan jenis ini telah dipraktikkan hampir sama waktu dengan pembedahan lutut total. Pada peringkat awal, UCR memberi pelbagai hasil, di mana ramai pesakit memperolehi hasil yang cemerlang tetapi satu dari empat pesakit yang menjalani UCR dalam tahun 70an dan 80an memerlukan pembedahan susulan. Kini, kita lebih memahami tentang pilihan pesakit untuk pembedahan, corak dan bahan yang lebih baik untuk UCR. UCR moden mampu mencapai 98% kadar jangka hayat selepas 10 tahun implan dipasang. Hasil pembedahan ini hampir menyerupai keberkesanan TKR.

Kaedah biasa untuk melakukan UCR memerlukan pendedahan sendi lutut sepenuhnya.  Oleh itu, pembedahan ini tidak banyak berbeza daripada TKR. Kini terdapat teknik terbaru untuk menjalankan UCR.

Teknik Kurang Invasif untuk UCR menampilkan kemajuan teknikal dalam bidang pembedahan penggantian sendi. Buat pertama kalinya, pakar bedah dapat menawarkan kaedah menggantikan sendi lutut yang memerlukan masa yang lama di hospital, pemindahan darah dan tempoh rehabilitasi yang berpanjangan.  Pembedahan ini dilakukan melalui potongan yang kecil dan kehilangan darah biasanya di bawah 60ml. Disebabkan skala pembedahan ini lebih kecil dari TKR, pakar bedah dan pesakit  merasa lebih selesa menjalankan pembedahan serentak untuk kedua-dua lutut jika perlu. Tempoh pemulihan sepenuhnya bagi kebanyakan pesakit ialah 3-4 minggu. Namun begitu,pembedahan ini memerlukan lebih kepakaran teknikal untuk dilakukan dan pilihan prostesis adalah faktor penting untuk menjayakan pembedahan ini. Program rehabilitasi yang penuh dedikasi penting untuk mencapai hasil terbaik.

 

Hasil Pembedahan

Pesakit akan sembuh sepenuhnya pada kadar yang berlainan. Ini dikaitkan dengan perbezaan usia, kecerdesan fizikal dan beberapa faktor lain. Kebanyakan pesakit agak selesa dan boleh bergerak tanpa bantuan selepas 4 minggu. Lutut anda akan dapat berfungsi dengan baik untuk aktiviti am yang tidak memberi tekanan. Anda sepatutnya mengelakkan aktiviti bertekanan tinggi seperti melompat dan berlari. Anda boleh menyertai sukan seperti berenang, mengayuh basikal, bermain golf dan bowling.

Prostesis mungkin akan menjadi longgar setelah lama digunakan. Kebanyakan UCR dijangka bertahan lebih daripada 10 tahun. Pembedahan UCR yang gagal dijalankan akan ditukarkan kepada Penggantian Lutut Total dengan hasil yang berkesan.

Komplikasi

Semua pembedahan mempunyai kemungkinan komplikasi dan MIUCR tidak terkecuali. Berikut adalah beberapa risiko yang berkaitan dengan pembedahan (risiko lain mungkin khusus kepada kes anda dan akan dibincangkan oleh pakar bedah )

  1. Komplikasi berkaitan anestatik
  2. Jangkitan kuman
  3. Keretakan tulang
  4. Ketidakselarian anggota dan bahagian badan lain.
  5. Bahagian yang longgar dan tidak stabil, terkehel dan subluksasi
  6. Sendi kaku
  7. Masih mengalami kesakitan
  8. Darah beku (penyakit thromboembolik)
  9. Komplikasai perubatan am

 

PENGGANTIAN SENDI TOTAL BANTUAN KOMPUTER

Sejak pinggul Charnley pertama yang dipasangkan untuk penyakit sendi di Hospital Wrightington, Wigan pada 1961, berjuta-juta pesakit di seluruh dunia telah mendapat manfaat dari penggantian sendi total. Meskipun prinsip asas masih dikekalkan, perkembangan yang pesat telah berlaku dalam bidang ini sejak bermulanya era Charnley.

Cabaran utama kini ialah untuk meningkatkan jangka hayat dan fungsi implan. Ini telah membawa kepada pelbagai usaha untuk menggunakan bahan yang lebih baik, meningkatkan corak dan teknik pembedahan. Salah satu inovasi terkini ialah penggantian sendi total dengan bantuan komputer.

Secara umum, persiapan untuk permukaan sendi yang bakal menerima prostesis dilakukan dengan alat mekanikal dan bantuan visual. Walaupun ia sesuai dalam kebanyakan kes, pesakit yang obes, mempunyai kecacatan yang teruk atau tisu lembut yang tidak normal akan menghadapi masalah. Salah satu penyebab utama kegagalan awal prostesis ialah sendi baru yang tidak lurus, yang pada asasnya ialah kesilapan teknikal. Dengan bantuan komputer, masalah ini dapat diselesaikan.

Kebanyakan pengedar dalam pasaran penggantian sendi akan membekalkan modul bantuan komputer untuk implan produk mereka untuk bahagian bawah tubuh. Meskipun spesifikasinya berbeza, prinsipnya adalah sama iaitu untuk memasangkan implan supaya ia membetulkan semula axis mekanikal (pinggul- lutut- buku lali) di bahagian bawah tubuh.

Teknologi GPS digunakan sebagai interface antara pakar bedah dan komputer. Pengesan bebas-wayaryang dipasangkan pada pesakit memancarkan maklumat melalui optik infra-merah ke komputer. Komputer dengan perisian pengesan yang unik pula akan memaklumkan posisi kaki pesakit kepada pakar bedah secara berterusan sepanjang masa.

Prosedur ini bermula dengan pendaftaran anatomi pesakit. Tidak seperti pembedahan bantuan imej yang memerlukan imbasan pra-pembedahan (samada MRI, CT atau Fluoroskopi), pembedahan bantuan komputer menggunakan maklumat yang diperolehi oleh pakar bedah semasa pembedahan untuk membolehkan penciptaan “morph” anatomi pesakit. Alat pemotong menggunakan pengesan yang berkomunikasi dengan komputer memastikan pemotongan yang dilakukan dan pemasangan implan dalam susunan yang  sesuai pada ketepatan 0.5º.

Memandangkan komputer membolehkan imej sendi pesakit disiarkan secara spontan, kepastian berkenaan susunan dan kinetik sendi  sewaktu pembedahan akan terjamin, membolehkan pakar bedah mengubahsuai posisi implan atau mengimbangkan susunan di peringkat percubaan jika perlu. Maklumbalas serta merta ini masih menjadi salah satu kemajuan utama pembedahan bantuan komputer berbanding prosedur berasaskan peralatan tradisional, di mana pakar bedah hanya boleh memastikan posisi implan dari X-ray selepas pembedahan.

Terdapat juga manfaat lain. Memandangkan saluran medullari tidak terjejas (seperti pembedahan tradisional menggunakan peralatan tradisional), kehilangan darah berkurangan dan dengan itu pemindahan darah dikurangkan atau tidak diperlukan langsung. Ini juga menurunkan risiko embolisma lemak. Memandangkan pembedahan ini membawa susunan implan yang optima dan proses kinematik boleh diubahsuai semasa pembedahan sedang berjalan, fungsi selepas pembedahan dapat dipertingkatkan. Sebagai peralatan tambahan untuk “membantu melihat”, ia berpotensi membantu pakar bedah menjalankan prosedur penggantian sendi melalui insisi minimal, dengan itu mempercepatkan proses rehabilitasi selepas pembedahan.

Dalam kajian prospektif rambang 1,2 yang membandingkan arthroplasti lutut bantuan komputer dengan teknik konvensional, prosedur komputer telah menunjukkan hasil yang jauh lebih baik dari segi susunan selepas pembedahan dan kehilangan darah. Kami telah menjalankan pembedahan bantuan komputer untuk penggantian lutut dan pinggul total di Pusat Perubatan Sunway sejak Oktober 2005. Perbandingan antara 2 kumpulan yang melakukan penggantian lutut total berasaskan peralatan tradisional di pusat yang sama mendapati kumpulan bantuan komputer menunjukkan hasil yang konsisten dari segi femoral, tibial dan susunan tibio-femoral. Out-liers yang kelihatan dalam kumpulan berasaskan peralatan tidak dikesan pada kumpulan bantuan komputer. Ukuran menggunakan scannogram CT menunjukkan paksi mekanikal femoral, tibial dan tibio-femoral dan juga susunan garis koronal sendi semuanya tergolong dalam julat yang sesuai iaitu ± 3º. Antaranya  85%, 94%, 82% dan 94% masing-masing berada dalam julat ± 1º .

Kami teruja dengan hasil permulaan kami. Penggunaan komputer dijangka akan mengambil tempat kaedah tradisional dalam semua penggantian sendi total di pusat kami dan di mana jua di masa depan.

  • Hospital swasta pertama yang menjalankan pembedahan penggantian sendi sepenuhnya menggunakan pandu arah komputer. Sehingga kini, hampir 400 kes telah berjaya dijalankan.
  • Penggantian tulang pinggul, lutut dan penggantian sendi sepenuhnya dilakukan terhadap pesakit yang mengalami kesakitan dan  kecacatan.
  • Implan boleh digunakan selama 15 ke 20 tahun.
  • Pembedahan yang dilakukan menggunakan arah pandu komputer telah terbukti memberikan pemasangan yang tepat kepada pesakit. Kaki pesakit kelihatan lebih lurus, implan dapat bertahan lebih lama dan pesakit juga boleh membengkokkan lutut dengan lebih selesa.
  • Pesakit muda yang dibedah menggunakan teknik penggantian lutut uni-kompartmental yang kurang invasif akan menjalani pembedahan sepanjang 6-8 sm sahaja. Pesakit dalam golongan ini dapat mengekalkan capaian pergerakan sepenuhnya, dan boleh mula memandu kereta dalam enam minggu selepas pembedahan.
  • Pesakit dinasihatkan supaya tidak mengambil ubat herba kerana ia akan mengakibatkan pendarahan yang banyak.
  • Pembedahan penggantian sendi tidak akan melanjutkan usia pesakit tetapi ia membolehkan pesakit meneruskan akitiviti harian dan menikmati hidup yang lebih berkualiti.
  • 95% pesakit yang menjalani pembedahan penggantian sendi adalah dari kumpulan warga emas. Warga emas yang hidup lebih lama dan menjalani kehidupan yang aktif lebih cenderung menjalani pembedahan penggantian sendi. Mereka yang banyak terlibat dalam sukan dan mengalami banyak kecederaan sukan juga lebih berkemungkinan menjalani pembedahan penggantian sendi.
  • 10 – 15% dari pesakit yang mengalami Artritis Rheumatoid juga memilih menjalani pembedahan penggantian sendi.
  • Anda boleh menghindari pembedahan penggantian sendi dengan mendapatkan bantuan pakar lebih awal apabila anda mengalami kecederaan, mengekalkan berat badan yang ideal dan mengelakkan senaman berat.

For more information or appointments, please call:





START TYPING AND PRESS ENTER TO SEARCH ARTICLES